Sebelum meneruskan nurkilan ini, sekalung Al-Fatihah dihulurkan kepada pemilik album review seterusnya ini iaitu Allahyarham Aan atau nama sebenarnya Imran Sulaiman yang sudah lebih 2 tahun meninggalkan kita bertemu Maha Pencipta pada 12 February 2012 lalu akibat serangan jantung. Walaupun Allahyarham telah tiada namun suara bekas vokalis Heavy Machine tetap diingati kerana lagu hits solo beliau 'Cinta Melankolia' pernah menjadi siulan sekitar 1993 dan 1994 dulu.
Aan pernah menghasilkan dua album solo bersama Happy Records melalui album ini dan juga 'Semalam' pada 1995. Apapun pada aku album ini merupakan satu lagi album pilihanku yang penuh dengan lagu-lagu sedap dan 'easy listening'. Selain lagu 'Cinta Melankolia', lagu 'Pulang' dan 'Semusim Cinta Seabad Terasa' juga pernah popular dan menjadi pilihan pendengar di Pilihan Bersama Radio Muzik ketika itu.
Walaupun aku memang mengenali antara orang kuat Happy Records ketika itu, namun kehadiran album ini langsung aku tak sedar. Tapi setelah mendengar lagu 'Pulang' di radio RMIK (sekarang KL.FM), aku tertanya-tanya siapakah pemilik suara lagu tersebut. Aku kurang meminati kumpulan Heavy Machine tetapi suka mendengar lagu 'Gelombang Cinta'. Apatah lagi lagu 'Pulang' ini mirip lagu 'Hazard' nyanyian Richard Marx membuatkan aku ingin tahu kenapa perlu ada 'copycat' dalam industri muzik tanahair. Lama-lama dengar barulah faham yang lagu ini langsung tiada persaman dengan lagu 'Hazard'. Kalau adapun sedikit dari segi susunan muzik tetapi bukan melodinya.
Namun setelah ditanya pada yang berkenaan, jelas sekali album ini memang dihasilkan oleh Happy Records. Tatkala mendengar saja album ini aku terus jatuh cinta dengan album yang dihasilkan pada 1993 dan diterbitkan oleh Dato' Sri Wirama Adnan Abu Hassan. Walaupun konsep pop rock bukanlah kegemaran aku yang lebih terarah kepada pop sepenuhnya, namun lagu-lagu slow rock dan pop agresif yang ada dalam album ini cukup menarik minat aku. Dari situ juga aku menyukai lagu-lagu seperti 'Dua Arah Bertemu', 'Murung' malahan lagu rock rancak 'Merentas Minda' dan 'Api Api'. Malah lagu bertunjangkan ketuhanan 'Sekali Imbas' juga sangat menarik untuk didengar. Pendekata memang tak rugi mendapatkan album ini ketika itu. Tak lah sampai sekali dengar, letak di rak dan habis di situ saja..
Suara Aan sememangnya cukup bertenaga dan mempunyai key yang tinggi (sesuai untuk beliau menyanyikan lagu-lagu rock) dan memang sukar untuk aku menyanyikan lagu 'Cinta Melankolia' di karaoke jika tidak diturunkan key nya.. Walaupun tidak pernah dicalonkan di Anugerah Industri Muzik ketika itu namun pada aku Aan merupakan salah seorang pemilik vokal yang terbaik pernah dimiliki oleh industri muzik tanahair. Perjuangan dalam bidang seni berterusan sehingga ke akhir hayat di mana beliau sempat membuat persembahan di kelab sehari sebelum menyahut panggilan Illahi. Moga rohnya aman bersamaNya. Al Fatihah.
(c) amirul omar properties 2014