Jumaat, 6 Julai 2018

Aishah - Asia Sedunia

Kita pilih album seterusnya iaitu 'Asia Sedunia' oleh penyanyi kelahiran Batu Kikir Negeri Sembilan, Wan Aishah Wan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Aishah.

Aishah adalah antara penyanyi pertama Malaysia yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan sinonim dengan kumpulan dari New Zealand 'The Fanclub' yang popular sekitar tahun 1988 dengan lagu 'Sensation'. 

Malah single dari album kedua kumpulan ini 'Don't Let Me Fall Alone' pernah berada di  tangga kedua carta Billboard Amerika di bawah Michael Jackson yang ketika itu mengungguli carta dengan lagu 'Black or White' pada tahun 1989.

Kejayaan itu membawa Aishah pulang semula ke tanahair pada tahun 1990 dan menghasilkan album 'Aishah' dan meledak dengan hits 'Janji Manismu', memenangi Anugerah Juara Lagu dan Artis Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian. 

Aishah seterusnya melahirkan album kedua 'Aishah II' pada 1991 yang memuatkan lagu popular 'Kemaafan Dendam Yang Terindah'. 

Manakala album 'Aishah III Asia Sedunia' dihasilkan pada tahun 1992 ini turun mendapat sentuhan komposer/pemuzik dari Jepun, Makoto Kobuta selain Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan. Malah album ini juga dipasarkan di Jepun dan mendapat sambutan menggalakkan dari pendengar di sana.
'Killer song' untuk album ini sudah semestinya lagu 'Selanjur Bercinta' ciptaan Wan Zul dan lirik oleh S Amin Shahab. 

Selain itu Aishah juga merakam semula lagu Jepun 'Hanakage' dan lagu sentuhan Latin ciptaan Claudio Veeragoo dan ditukarkan lirik ke Bahasa Malaysia oleh Amran Omar iaitu 'Ambalamba'. Kedua lagu ini juga mendapat perhatian selain lagu 'Jari Jariku Sakit Semua' ciptaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan lagu rakyat 'Bangau oh Bangau' dengan susunan muzik lebih segar dengan sentuhan disco dan R&B. Ternyata keduanya diterima ramai dan tidak keterlaluan kalau dikatakan susunan muziknya lebih ke depan atau 'advance'.

Menerusi album ini juga Aishah pertama kali menyanyikan lagu ciptaan Datuk M Nasir dan Fauzi Marzuki menerusi 'Kau Yang Semalam' dan 'Kau Sahabat Kekasih Dan Teman'. Walaupun ketika itu dua lagu ini jarang diputarkan di radio, namun pada penggemar Aishah amat menyukai lagu ini. 
Lagu lain yang turut dimuatkan dalam album ini adalah 'Hikayat Asmara' ciptaan Ikhtiman Ismail dan lirik oleh Zurain.

Keseluruhan pada aku ini antara album terbaik yang pernah Aishah hasilkan. Lagu dan susunan muziknya lebih 'advance' ketika itu. Langsung tidak kedengaran seperti muzik 80an atau 90an di mana kebanyakan album-album Melayu ketika itu.


Khamis, 3 November 2016

SehaFarra (2001)

Kompilasi seterusnya adalah kompilasi dua artis hebat iaitu Seha dan Farra yang diterbitkan pada tahun 2001.

Umum mengenali Seha sebagai penyanyi kumpulan Freedom yang popular dengan lagu 'Mulanya Di Sini' yang tersenarai di Anugerah Juara Lagu 1987. Bagaimanapun Seha memilih untuk bergerak secara solo dengan album 'Seha' pada tahun 1990 dan popular dengan lagu ciptaan M Nasir iaitu lagu 'Seloka Cinta Remaja' dan 'Hitam Manis'.

Beliau juga menghasilkan sebuah lagi album pada tahun 1993 menerusi album 'Enigma'. Perjuangan Seha terhenti pada tahun 2006 dengan kepulangannya ke rahmatullah akibat penyakit kanser paru paru. Pun begitu Allahyarhamah tetap dikenang sebagai seorang penyanyi dan pengacara yang berkaliber.

Manakala Farra pernah mendapat jolokan ' Ratu Tari Malaysia' ini popular dari album 'Bagaikan Puteri' (1995) dan 'Sayang' (1997). Selepas berkahwin dan berhijrah menjadi seorang muslimah, Farra tidak lagi aktif dalam bidang nyanyian tetapi lagu 'Bagaikan Puteri' tetap digemari generasi baru dan lagu tersebut dinyanyikan semula oleh pelakon yang juga bekas pelajar Akademi Fantasia iaitu Zarina Zainordin.

Album ini sebenarnya unik kerana menghimpun 14 buah lagu Seha dan Farra yang terkenal dengan 'dance music'. Ia juga album ala-ala 'urban' yang menampilkan beberapa lagu yang mempunyai susunan muzik yang sangat advance.

Contoh lagu 'Titi Meniti' yang mempunyai pengaruh dan sedikit persamaan dengan lagu-lagu kumpulan antarabangsa Enigma. Susunan muziknya sangat urban dan sebenarnya benda-benda baru sebegini kurang mendapat sambutan peminat muzik tanahair ketika itu.

Begitu juga dengan album kedua Farra 'Sayang' yang menggabungkan muzik moden dan etnik yang tidak ketara. Sukar peminat muzik menerimanya walaupun album pertama beliau 'Bagaikan Puteri' mendapat sambutan luar biasa.

Album ini juga menampilkan lagu 'Bagaikan Puteri', 'Kata Hati', 'Buka Pagarmu' dan 'G.I.L.A' dari Farra dalam bentuk adunan semua atau 'remix'. Pendekata album ini menjadi pilihanku ketika mengantuk atau keletihan ketika memandu. Segar bugar dibuatnya. ☺

Antara lagu yang aku suka adalah 'Seloka Cinta Remaja' nyanyian Seha yang menampilkan sisi lain Seha menyanyikan lagu berentak cha cha. Begitu juga 'Tarian Bebas' yang mempunyai sedikit pengaruh Latin dan muzik orang asal New Zealand yang digabung dengan 'dance music'.

Begitu juga lagu 'Suara Amirul' yang satu-satunya lagu yang menggunakan namaku sebagai judul. Bangga jap! 😁 cuma aku tak pasti samada ini adalah lagu asal nyanyian Seha atau pun dinyanyikan semula dari penyanyi asal, sebab kalau tak silap aku pernah lagu ini dulu sebelum Seha nyanyikannya ataupun aku sendiri tak pasti yang lagu yang aku dengar tu memang asal nyanyian Seha.

Manakala lagu Farra yang aku suka selain 'Bagaikan Puteri' adalah 'Buka Pagarmu', 'Kedua Kalinya' dan 'Kata Hati'. Susunan muzik 'dance' gubahan Zuriani memang advance. Mungkin kerana beliau terdedah dengan muzik-muzik moden dari US yang menjadi tempat permastautin beliau.

Apapun kedua artis ini sememangnya mempunyai sedikit persamaan dari segi konsep album dan merupakan antara perintis lagu-lagu sebegini di arena muzik tempatan. Aku tak pasti samada artis remaja sekarang ada yang menyambung legasi yang diciptakan oleh Farra dan Allahyarham Seha.

Lagu lagu dalam album ini adalah:-

1. Seloka Cinta Remaja (Seha/M Nasir/S Amin Shahab)
2. Bagaikan Puteri (Farra/Zuriani/Fakir Iskandar)
3. Titi Meniti (Seha/Paul Moss & M Smith/Amran Omar)
4. Sayang (Farra/JB Lee/Fakir Iskandar)
5. Akar (Seha/Tradisi - himpunan lagu rakyat yang dihiasi muzik 'dance')
6. Buka Pagarmu (Farra/Zuriani/Fakir Iskandar)
7. Teman Bicara (Seha/Paul Moss & M Smith/Amran Omar)
8. Ributku (Farra/Zuriani/Fakir Iskandar)
9. Tarian Bebas (Seha/Paul Moss & M Smith/Johan Nawawi)
10. Kata Hati (Farra/Zuriani/Fakir Iskandar)
11. Hitam Manis (Seha/Tradisional/Fauzi Marzuki & Akmal Ariffin)
12. G.I.L.A (Farra/Zuriani/Loloq)
13. Suara Amirul (Seha/Fauzi Kadir)
14. Kedua Kalinya (Farra/Zuriani/Fakir Iskandar & Farra)

Pilihan Terbaik Rohana (1990)

Album seterusnya yang ada dalam simpanan aku adalah 'Pilihan Terbaik Rohana'.


Sebenarnya ini adalah album yang sangat-sangat memori untuk dimiliki apatah lagi ini adalah satu-satunya album kompilasi penyanyi Rohana Jalil yang menghimpunkan 3 album terbaik Rohana dari tahun 1988 (Rayuanku), 1989 (Resahku) dan 1990 (Kerana Dia Kita Terpisah).

Album ini juga menghimpunkan 4 lagu dari setiap album tersebut dalam satu album. Memang ada beberapa album kompilasi beliau yang lain selepas ini tetapi ada beberapa buah lagu dalam album ini tidak terdapat dalam mana-mana album kompilasi selepas album ini.

Malah lagu seperti 'Kau Mengujiku', 'Tinggalkan Diriku', 'Diri Tersingkir' dan 'Rinduku Menggongcang Hati' sudah tidak tersenarai dalam mana-mana album kompilasi lagi dan ini satu-satunya album yang mengandungi lagu di atas dan dapat didengar dan diperolehi dalam bentuk CD.

Sayangnya selepas cetakan semula album 'Rayuanku' pada 2015, pihak NSR tidak lagi berminat untuk mencetak semula album seperti 'Resahku', 'Jangan Main Mata' dan juga 'Faez'.

Sebenarnya aku sendiri ketinggalan mendapatkan album 'Faez' dan 'Jangan Main Mata' dalam bentuk CD. Untuk makluman, album pertama yang dikeluarkan dalam bentuk CD di Malaysia adalah album Fairuz Hussein 'Kali Pertama' yang diedarkan pada penghujung tahun 1989. 

Cetakan dalam bentuk CD secara menyeluruh pada semua album di Malaysia hanya bermula dengan album-album yang diterbitkan selepas tahun 1990. Itupun cuma 80% dari keseluruhan album yang dipasarkan malah ada antara syarikat rakaman yang cuma memulakan cetakan album mereka dalam bentuk cd bermula tahun 1993! itu pun cuma cetakan kurang dari 10 ribu unit.

Jadi bayangkan betapa sukarnya mendapatkan album-album ini ketika itu. Lagipun penggunaan 'cd player' ketika itu baru bermula dan cuma mereka yang benar-benar kaya atau minat dalam muzik saja yang mempunyai album-album seperti ini. Bayangkan ketika itu sebuah album dalam bentuk cd dijual paling murah dengan harga RM39.90, malah ada mencecah hingga RM50.00 sebuah cd. Apatah lagi dengan nilai wang RM50 ketika itu memungkinkan kita membeli satu troli barangan dapur. Jadi keperluan untuk membeli cd tidak seperti pertengahan 1990an atau awal tahun 2000.

Berbalik kepada album ini, ianya adalah satu kompilasi terbaik pernah dihasilkan NSR untuk Rohana Jalil dan hingga kini inilah album yang sangat memori pada aku.


Senarai lagu dalam album ini adalah:-

1. Rayuanku (1988) (A Ali/Lukman S)
2. Inikah Akhirnya (1990) (A Ali/Lukman S)
3. Seloka Dendangan Hati (1990) (A. Kadir /Effa)
4. Tinggalkan Diriku (1989) (Yolli ZM)
5. Resahku (1989) (A Ali/Lukman S)
6. Sempadan Kasih (1988) (A Ali/Lukman S)
7. Rindu Menggongcang Hati (1989) (Dhalan Zainuddin/Juwie)
8. Penyakit Rindu (1988) (Mas Omar/Haron Abdul Majid)
9. Dalam Birunya Luka (1988) (Zahir C Lubis)
10. Kerana Dia Kita Terpisah (1990) (A Ali/Juwie)
11. Diri Tersingkir (1990) (Dennis/Juwie)
12. Kau Mengujiku (1989) (A Ali/Habsah Hassan)

(c) Amirul Music Properties 2016


Sabtu, 22 Oktober 2016

Kayangan The Soundtrack (OST)

Review kali ini adalah OST (original sound track) atau runut bunyi dari filem 'Kayangan' yang dihasilkan untuk tayangan pada 2007 oleh Raden Pictures Sdn Bhd. Manakala album OST album ini diterbitkan oleh Ajai di bawah label Wake The Baby.


Walaupun filem lakonan Fazura, Teuku Zacky (aktor dari tanah seberang),  Eja, Mustafa Kamal, Ziela Jalil, Dynas Mokhtar dan ramai lagi kurang mendapat sambutan namun pada aku album OSTnya adalah sebuah album OST bernilai tinggi.

Apatah lagi gabungan beberapa artis terkenal termasuk Dato Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Sarah Raisuddin, Farah AF dan Zahid. Lebih istimewa lagu-lagu dari album ini adalah lagu baru dan tidak dimuatkan dalam mana-mana album penyanyi berkenaan.

Sebanyak 11 lagu dimuatkan dalam album termasuk lagu 'Kayangan' nyanyian Ajai dan Tunku Mimi dalam dua versi iaitu pop dan rock. Tetapi aku lebih tertarik dengan lagu 'Menanti Pasti' nyanyian Dato Siti Nurhaliza yang berentak 'waltz'. Lagu ini menampilkan sisi lain Dato Siti yang sebelum ini sinonim dengan muzik pop dan etnik. Alunan string dan lenggok suara Dato Siti sememangnya 'blend' di dalam naskah ciptaan Ajai ini.

Selain itu lagu nyanyian Sarah 'Cara Yang Berbeza' mengingatkan kita pada lagu hitsnya 'Kesetiaan' yang juga ciptaan Ajai. Namun pengaruh R&B membuat lagu ini benar-benar memberikan sedikit kelainan pada suara Sarah.

Begitu juga lagu 'rock' rancak 'Gembira Hidup Ini' dendangan Farah AF yang sebelum ini sinonim dengan lagu-lagu balada pop ciptaan Adnan Abu Hassan. Farah benar-benar 'gembira' menyanyikan lagu ini kerana gaya nyanyiannya yang menceriakan lagu ini.

Namun aku sedikit kecewa dengan lagu nyanyian Ning Baizura 'Ungkapan Terindah' yang agak mendatar. Cuma yang dalam lagu ini Ning tidak banyak menggunakan suara soprano nya sebaliknya beliau menyanyikan lagu ini dengan suara 'asal' nya. Apapun lagu ini adalah naskah yang sekadar 'bolehlah' kata orang sedangkan Ning seharusnya diberikan sebuah lagu lebih baik dari ini. Penghayatan Ning memang jarang dinafikan dan seperti biasa malah seperti 'Awan Yang Terpilu' ianya cukup menyentuh jiwa.

8 dari 10 lagu yang terdapat dalam album ini adalah ciptaan Ajai kecuali lagu 'Sabarlah' dan 'Terakhir' (Sad Angry Baby).

Lagu 'Kayangan' versi rock lebih menyengat (vokal yang sama dan cuma susunan muzik sedikit berbeza) berbanding versi string (orkestra). Mungkin bunyi 'string' itu sendiri agak 'lemau'. Aku rasa kiranya live orkestra (dalam konsert atau sebagainya) mungkin ia lebih menjadi. Atau mungkin juga ketika mixing, bunyi orkestra tidak dikedepankan membuatkan nya sedikit tenggelam.

Lagu 'Terakhir' juga antara lagu favourite aku kerana elemen progressive rock yang agak menarik. Memang rentak sebegini menjadi kegemaranku sejak dulu. Liriknya simple dan menarik hati. Tapi hairan kenapa lagu ini tidak mendapat perhatian.

Dari pengamatan aku cuma lagu 'Kayangan' dan 'Menanti Pasti' mendapat perhatian d4i radio. Sayangnya, banyak lagu lain yang menarik tetapi tidak popular. Mungkin promosi atau pun mungkin tak ramai tahu kehadiran album ini.

11 lagu yang terdapat dalam album ini adalah:-

1. Kayangan (versi rock)(nyanyian Ajai & Tunku Mimpi/ciptaan dan lirik oleh Ajai)
2. Cara Yang Berbeza (Sarah/Ajai/Musrad)
3. Gembira Hidup Ini (Farah/Ajai)
4. Menanti Pasti (Siti Nurhaliza/Ajai/Abie)
5. Perlukah (Zahid feat. Shazzy/Ajai & Shazzy)
6. Redupan Kayangan (Ajai)
7. Sabarlah (SAB/Zain & Omar)
8. Ungkapan Terindah (Ning Baizura/Ajai/Loloq)
9. Kuasa Cintamu (Syed Azmir/Ajai)
10. Terakhir (SAB/Omar/Zain)
11. Kayangan (versi string)



(c) 2016 Amirul Music Properties

Profil Lagu-Lagu Popular Ciptaan Ahmad Nawab

Kita ke album kompilasi pula yang ada dalam simpananku. Album ini sebenarnya seolah satu 'masterpiece' dari komposer evergreen  Datuk Dr. Ahmad Khan Bin Nawab Khan yang lebih dikenali oleh Ahmad Nawab.


Memetik info dari wikipedia, Dato’ Dr. Ahmad Nawab dilahirkan di Pulau Pinang, merupakan seorang komposer muzik yang lebih dari layak digelar 'sifu' kerana telah menerbit lebih 200 buah album yang didendangkan oleh artis-artis tempatan dan luar negara yang popular dan berbakat besar seperti Hetty Koes Endang, Khatijah Ibrahim, Sudirman Haji Arshad, Ramlah Ram, Broery Marantika dan ramai lagi.

Lagu-lagu ciptaannya sangat berkualiti kerana sesebuah lagu yang diciptanya adalah berdasarkan pengamatan beliau terhadap penyanyi yang bakal menyanyikan lagu itu.

Dengan ertikata lain lagu itu dicipta dengan mengambil kira di mana kekuatan dan kelemahan suara penyanyi yang akan menyanyikannya. Pendekata kalau sesebuah lagu itu dicipta untuk Ramlah Ram, ianya adalah sesuai dan hebat dilagukan oleh Ramlah Ram dan bukannya penyanyi lain walaupun penyanyi lain mungkin memiliki kelebihan tersendiri.

Lihat saja bagaimana Faradhiya menyanyikan semula lagu 'Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu' ketika konsert mingguan Gegar Vaganza 2 pada tahun 2015 lalu. Terlalu hambar dirasakan lagu itu di tangan Faradhiya walaupun Faradhiya mempunyai keunikan vokal tersendiri.

Dato’ Dr. Ahmad Nawab adalah komposer yang bertanggungjawab bagi mengubah lagu “Malaysia Truly Asia” yang dinyanyikan oleh Datuk Khatijah Ibrahim untuk mempromosi Malaysia pada persada antarabangsa.

Maknanya di sini lagu-lagu beliau kekal relevan sepanjang zaman tidak hanya ciptaan zaman Allahyarham Puan Sri Saloma tetapi juga ciptaan beliau di alaf baru.

Maka tidak hairan lah jika beliau dianugerahkan anugerah Doktrate Dalam Penulisan Kehormat (“Honarory Doctrate In Literature”) oleh Universiti Putra Malaysia pada tahun 2000 yang membawa gelaran Dr. (Ni gelaran Dr. anugerah yang original dan bukan dibeli atau di'claim'kan ya.. lol)

Berbalik kepada review album kali ini, ia adalah terbitan Warner Music Malaysia pada tahun 2012 dan mungkin mendapat kerjasama dari pihak EMI Malaysia yang ketika itu bernaung di bawah Warner sebelum diambilalih sepenuhnya oleh Universal Malaysia beberapa tahun selepas itu.

Kebanyakkan lagu-lagu dari album profile insan bernama Ahmad Nawab ini adalah lagu-lagu dari artis yang pernah bernaung di bawah Warner Music dan EMI Music. Mungkin kerana kekangan dari segi hakcipta membuat lagu-lagu hits dari album Ramlah Ram, Shidee, Salamiah Hassan, Siti Fairuz dan Noraniza Idris tidak berada dalam album ini.

Pun begitu aku tak pasti kenapa lagu 'Rindu Memaksaku Menyayangimu' dan 'Rindu Seorang Kekasih' nyanyian Francissca Peter tidak berada dalam album ini walhal ianya diterbitkan di bawah Warner Music Malaysia. Mungkin kerana terlepas pandang atau atas sebab lain.

Apapun untuk album ini sememangnya mengimbas aku kembali pada lagu yang pernah popular satu ketika dulu dan ada antaranya aku sendiri tidak pernah dengar. Sebagai contoh lagu 'Kau Sumber Ilham Seniku' nyanyian Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Lagu ini amat menarik kerana liriknya sendiri ditujukan kepada sang komposer yang begitu dikaguminya.

Begitu juga lagu 'Kabus' (Hail Amir), 'Di Mana Ke Mana' (Allahyarham Datuk Ahmad Jais), 'Menanti Malam Tiba' (Serena Hashim), 'Jinak Merpati' (Allahyarham Tohpuan Rafeah Buang) dan 'Saat Yang Ku Nanti' (DJ Dave) yang merupakan antara lagu klasik yang sangat menarik.

Aku akui lagu-lagu dan penyanyi tahun 70an bukanlah zaman aku memandangkan aku hanya dibesarkan pada tahun 80an. Namun lagu-lagu popular 70an yang lain seperti lagu lagu nyanyian Uji Rashid, Hail Amir, Sharifah Aini, DJ Dave, BDB, Carefree, Khadijah Ibrahim dan Latiff Ibrahim tetap menjadi halwa telingaku sejak dari zaman kanak-kanak lagi.

Malah aku hanya mengenali penyanyi seperti Noor Kumalasari, Anita Sarawak, Azlina Aziz dan Sudirman pada era 80an dengan lagu lagu hits mereka ketika itu seperti 'Mata', 'Bawalah Daku Pergi', 'Wajahmu Di Mana Mana' dan 'Nilai Cintamu' walhal mereka lebih dulu dikenali di era pertengahan dan akhir 70an.

Dari 36 lagu yang terkandung dalam 2 cd album ini aku sangat menyukai lagu 'Bintang Malam' dan 'Menanti Hari Esok' nyanyian Uji Rashid, 'Tiada Maaf Bagimu' (Datuk Sharifah Aini.. namun aku pelik kenapa tiada lagu 'Seiring Dan Sejalan' dan 'Kau Tinggi Di Awan Biru' tidak termasuk dalam senarai album ini) dan juga lagu 'Sendiri' dan 'Nasib Diriku' (Jamal Abdillah).

Lagu lain yang aku suka adalah 'Bawalah Daku Bersamamu' (Allahyarham Azean Irdawaty.. mungkin tak ramai mengetahui yang beliau sebenarnya memulakan perjalanan seninya sebagai penyanyi), Sirih Pinang (Azlina Aziz), Senja Di Kuala Lumpur (Broery Marantika), Kau Bungaku (Dato Shake), 'Lain Hari, Lain Tempat, Lain Waktu' (Anita Sarawak) dan 'Ku Sangka Siang Kiranya Malam' (Datuk Khadijah Ibrahim.. tertanya juga mana menghilang lagu 'Ku Gembira Di Sampingmu' dari senarai lagu dalam album ini)

36 lagu yang terdapat dalam album ini yang diciptaan Datuk Dr Ahmad Nawab adalah:-

CD 1
1. Kabus (nyanyian Hail Amir dan lirik oleh Erna)
2. Kau Sumber Ilham Seniku (nyanyian dan lirik oleh Sharifah Aini)
3. Ku Sangka Siang Kiranya Malam (Khadijah Ibrahim/Rahmat Zaki)
4. Aku Penghiburmu (Sudirman/Ernie)
5. Kasih (Broery Marantika/Rina)
6. Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu (Uji Rashid/Erna)
7. Cahaya (DJ Dave/Erna)
8. Di Mana Ke Mana (Ahmad Jais/Nordin Che Din)
9. Nasib Diriku (Jamal Abdillah/Rahmat Zaki)
10. Menanti Malam Tiba (Sarena Hashim/M Habib)
11. Sirih Pinang (Azlina Aziz/Rahmat Zaki)
12. Hujan (Hail Amir & Uji Rashid/Ernie)
13. Lain Hari, Lain Tempat, Lain Waktu (Anita Sarawak/Salamah Basiron)
14. Kenangan Membawa Kesan (Norlaila Ayub/Nordin Che Din)
15. Pilihlah Aku (Latiff Ibrahim/Rahmat Zaki)
16. Jinak Merpati (Rafeah Buang/Ahmad Nawab)

Cd 2
1. Bintang Malam (Uji Rashid/Ainul Jamal)
2. Aku Dan Kesepian (Azlina Aziz/Dalina)
3. Senja Di Kuala Lumpur (Broery Marantika)
4. Wajah Kesayangan Hamba (Hail Amir/Chuari Selamat)
5. Mengapa Aku Disalahkan (Khadijah Ibrahim/Dalina Ahmad)
6. Teraju Negara (Latiff Ibrahim/Rahmat Zaki)
7. Bawalah Daku Bersamamu (Azean Irdawati/Rahmat Zaki)
8. Ku Tahu Hatimu Terluka (Jamal Abdillah/Juwie)
9. Apa Diharap Hatinya Orang (Rose Iskandar/Ernie)
10. Menanti Hari Esok (Uji Rashid/Aimi Jarr)
11. Tiada Maaf Bagimu (Sharifah Aini)
12. Sendiri (Jamal Abdillah/Habsah Hassan)
13. Kau Bungaku (Dato Shake/Dalina Manja)
14. Hari Yang Ku Nantikan (Rozita Rohaizad/Suriani)
15. Saat Yang Ku Nantikan (DJ Dave/Arnie S)
16. Antara Matamu Dan Mataku (Hail Amir & Uji Rashid/Arnie S)

         (c) 2016 Amirul Music Properties

Siti Nurhaliza (1996)

Kita imbas album pertama Dato Siti Nurhaliza yang diterbitkan pada tahun 1996 usai kemenangan beliau di pertandingan Bintang HMI 1995. 

Dato Siti merupakan antara artis yang menjadi kegemaranku sejak kemunculannya di pertandingan tersebut. Gaya nyanyian dan suara beliau yang tersendiri membuatkan aku kagum dengannya. Bahkan ketika pertandingan akhir yang mana beliau menyanyikan lagu popular Aishah 'Camar Yang Pulang' aku sudah menjangkakan yang dia mampu memenangi pertandingan itu.

Walaupun Dato Siti mendapat banyak tawaran menyertai syarikat rakaman antarabangsa ketika itu, namun rasanya beliau tidak pernah tersalah arah bila memilih tawaran Allahyarham Datuk Seri Wirama Adnan Abu Hassan dan Suria Records sebagai naungan pertamanya dalam bidang seni.

Ternyata naskah ini berjaya mendapat sebutan peminat muzik tempatan ketika iti bila mula meledaknya lagu 'Jerat Percintaan'. Biarpun pada awalnya lagu ini bukanlah superbom hits ketika itu namun semuanya berubah bila ianya dipilih sebagai lagu terbaik Anugerah Juara Lagu ke 14 (1996) sekaligus menobatkan juga Dato' Siti memenangi kategori Persembahan Terbaik.

Sebenarnya kekuatan album ini bukan saja terletak pada 'Jerat Percintaan' semata-mata kerana lagu 'Jawapan Di Persimpangan' dan 'Antara Waktu Dan Usia' adalah antara single yang terlebih dulu mendapat perhatian.

Ini kerana berbeza dengan cara stesen radio zaman sekarang yang memilih untuk memutarkan cuma satu lagu dari setiap album dulu sampai 'lebam' dan barulah diikuti dengan lagu lain. Tetapi ketika tahun 90an (sebelum wujudnya Era.fm) tidak hanya menumpukan pada satu lagu dari setiap album seseorang penyanyi.

Jika terdapat lebih dari satu lagu hits, radio tetap memutarkannya mungkin 3 atau 4 kali berselang-seli dalam sehari. Maknanya, kita mungkin boleh dengar lagu A pada sebelah pagi, lagu B pada tengahari, lagu A kembali pada sebelah petang dan mungkin lagu C atau B sekali lagi pada sebelah malamnya. Pendekata, kalu semua lagu hits, kita mungkin dapat dengar semua 10 lagu dari album itu dalam masa satu hari!

Apapun fenomena itu tak kan mungkin kembali kerana keterbatasan kehendak sesebuah stesen radio dan juga kekurangan sebuah album penuh dihasilkan oleh para penyanyi tanahair ketika ini.

Berbalik kepada album ini, antara 'favourite song' aku adalah 'Jawapan Di Persimpangan', 'Sempadan' dan 'Jalanan Berduri'. Lagu-lagu ini mula mendapat perhatian selepas Dato Siti memenangi Anugerah Juara Lagu dan single 'Mawarku' (duet bersama kumpulan 2 by 2) mula meledak. Sudah lumrah, bila seseorang penyanyi mula dikenali, peminat akan 'selongkar' apa saja lagu nyanyiannya walaupun dari album yang tak pernah dikenali ataupun 'meletop'.

Malah lagu 'Mahligai Asmara', 'Bicara Luka' dan 'Kerana Jelingan' juga mendapat perhatian bila ianya mendapat permintaan dalam rancangan 'Pilihan Bersama' Radio Muzik yang popular ketika itu. Malah rancangan ini adalah antara platform terbaik untuk menilai sejauh mana kejayaan sesebuah album kerana lagu yang dipilih sememangnya adalah dari pilihan pendengar.

Album ini menampilkan konsep pop sepenuhnya dan dimuatkan lebih separuh dari 10 lagu dalam album ini dengan lagu-lagu ciptaan Adnan Abu Hassan. Walaupun susunan muzik dalam album ini jelas dipenuhi dengan bunyi 'tipikal' Adnan yang terkenal dengan susunan 'programming'nya namun pada aku ianya sebuah album yang sangat menarik dan penuh 'kenangan'. Dah 20 tahun usia album ini..

Cuma janganlah bandingkan album ini dengan album Dato Siti seperti 'Fragmen' kerana jarak masa adalah tidak relevan untuk membezakannya kerana terdapat banyak kelemahan dari segi susunan muzik, pemilihan lagu dan cara nyanyian Dato Siti sendiri sudah jauh berubah.

Senarai penuh lagu-lagu dalam album ini adalah seperti inlay di bawah:-

(c) 2016 Amirul Omar Properties

Khamis, 13 Oktober 2016

Sarah

Album pop seterusnya ini diterbitkan pada tahun 2002 yang merangkul Album Terbaik dan Album Pop Terbaik di AIM ke 10 pada tahun 2003.


Ini adalah album pertama Siti Sarah Raisuddin atau lebih dikenali sebagai Sarah. Artis kelahiran Kuala Lumpur ini merupakan anak pelakon dan penyanyi popular 80an Raisuddin Hamzah dan isteri kepada anggota kumpulan Sepahtu iaitu Shuib.

Beliau pernah menjadi finalist Bintang RTM pada tahun 2001 yang ketika itu dimenangi oleh Azharina Azhar. Malah ketika itu juga beliau bersaing dengan Misha Omar dan Ameer Sofarz di pertandingan yang banyak melahirkan artis artis terbaik tanahair.

Namun itu tidak melemahkan semangat Sarah bila rezeki mula berpihak kepadanya selepas menjuarai Bintang Gempaq URTV beberapa bulan selepas itu.

Serentak itu Sarah disunting oleh NAR Records menjadi artis mereka dan lahirlah album ini. Keunikan suara Sarah merupakan antara sebab yang beliau seharusnya kekal dalam industri muzik.

Malah kemunculan album-album seterusnya yang mempopularkannya dengan lagu 'Jangan Kau Mimpi', 'Saat Hilangnya Cintamu' dan 'Bersamamu' merupakan antara sebab yang membuatkan beliau kekal relevan.

Sayangnya selepas mendirikan rumahtangga, beliau tidak begitu aktif dalam bidang seni dan diharapkan kemunculan semula Sarah dalam Gegar Vaganza 3 mampu menyerlahkan kembali auranya.

Album ini membariskan ramai komposer dan diterbitkan oleh Aalva Jitab, Aidid Aifian, Ajai, Along Exist, Azmeer, Belle Fatah, Edrie Hashim, Helen Yap dan Neves Pretty Ugly.

Tak hairanlah bila dikatakan ini adalah salah satu album pilihan aku kerana ianya merupakan sebuah 'killer album' yang menampilkan lebih dari 5 buah lagu hits yang popular di radio ketika itu.

Sudah semestinya 'Kesetiaan' merupakan lagu 'super hits' dalam album ini. Namun lagu-lagu seperti 'Ku Teruskan',  'Ke Hujung Dunia', 'Pesan Mamaku' dan 'Rembulan Di Taj Mahal' juga antara lagu yang diminati ramai.

Selain lagu-lagu hits itu aku juga menyukai lagu 'Cemburu', 'Kata Cinta' dan 'Hai Kawan'. Lagu 'Kata Cinta' ciptaan Azmeer ini juga lari dari kebiasaan yang dihasilkan beliau yang terlalu sinonim dengan lagu-lagu ala 'Purnama Merindu' (Dato' Siti Nurhaliza).

Malah tak keterlaluan dikatakan yang lagu 'Ke Hujung Dunia' juga menampilkan sisi lain Aidit Alfian yang ketika itu terkenalkan dengan ke'genius'annya menghasilkan lagu yang unik seperti 'Paling Comel' nyanyian Siti Nordiana dan Achik. Ini kerana ianya adalah sebuah naskah balada agak berat yang sarat dengan susunan muzik yang lain dari yang lain ketika itu. Maksud aku, susunan muzik lagu ini belum pernah aku dengar dalam mana-mana lagu sebelum ini (kecuali yang tak popular atau aku terlepas pandang)

Begitu juga susunan muzik lagu 'Pesan Mamaku' yang sarat dengan elemen klasik Jazz yang cukup unik. Manakala lagu 'Damaikan Asmaraku' mengingatkan aku lagu-lagu Patrick Kamis yang lain nyanyian Syura, Elyana atau Siti Nordiana. Namun keasliannya tetap ada. 'Sedap dan boleh makan!'

Ternyata lagu-lagu sebelum era tahun 2010 begitu sarat dengan kualiti dan keunikan yang tidak ada pada lagu-lagu sekarang.

Apapun "all the best" untuk Sarah dalam Gegar Vaganza 3 yang bakal berlangsung pada 16 Oktober 2016 ini.


Senarai lagu dalam album ini adalah:-

1. Ku Teruskan (Ajai/Musrad)
2. Hai Kawan (G Nola/Musrad)
3. Kesetiaan (Ajai/Musrad)
4. Rembulan Di Taj Mahal (Edrie Hashim/Loloq)
5. Kata Cinta (Azmeer/Loloq)
6. Ke Hujung Dunia (Aidid Alfian/Aidid Alfiat & Ad Samad)
7. Cemburu (Neves Pretty Ugly)
8. Damaikan Asmaraku (Patrick Kamis/Hazida)
9. Hasrat Cinta (Aalva/Taha)
10. Pesan Mamaku (Helen Yap/Loloq)

(c) Amirul Music Properties 2016