Album seterusnya yang ada dalam simpanan aku adalah 'Pilihan Terbaik Rohana'.
Sebenarnya ini adalah album yang sangat-sangat memori untuk dimiliki apatah lagi ini adalah satu-satunya album kompilasi penyanyi Rohana Jalil yang menghimpunkan 3 album terbaik Rohana dari tahun 1988 (Rayuanku), 1989 (Resahku) dan 1990 (Kerana Dia Kita Terpisah).
Album ini juga menghimpunkan 4 lagu dari setiap album tersebut dalam satu album. Memang ada beberapa album kompilasi beliau yang lain selepas ini tetapi ada beberapa buah lagu dalam album ini tidak terdapat dalam mana-mana album kompilasi selepas album ini.
Malah lagu seperti 'Kau Mengujiku', 'Tinggalkan Diriku', 'Diri Tersingkir' dan 'Rinduku Menggongcang Hati' sudah tidak tersenarai dalam mana-mana album kompilasi lagi dan ini satu-satunya album yang mengandungi lagu di atas dan dapat didengar dan diperolehi dalam bentuk CD.
Sayangnya selepas cetakan semula album 'Rayuanku' pada 2015, pihak NSR tidak lagi berminat untuk mencetak semula album seperti 'Resahku', 'Jangan Main Mata' dan juga 'Faez'.
Sebenarnya aku sendiri ketinggalan mendapatkan album 'Faez' dan 'Jangan Main Mata' dalam bentuk CD. Untuk makluman, album pertama yang dikeluarkan dalam bentuk CD di Malaysia adalah album Fairuz Hussein 'Kali Pertama' yang diedarkan pada penghujung tahun 1989.
Cetakan dalam bentuk CD secara menyeluruh pada semua album di Malaysia hanya bermula dengan album-album yang diterbitkan selepas tahun 1990. Itupun cuma 80% dari keseluruhan album yang dipasarkan malah ada antara syarikat rakaman yang cuma memulakan cetakan album mereka dalam bentuk cd bermula tahun 1993! itu pun cuma cetakan kurang dari 10 ribu unit.
Jadi bayangkan betapa sukarnya mendapatkan album-album ini ketika itu. Lagipun penggunaan 'cd player' ketika itu baru bermula dan cuma mereka yang benar-benar kaya atau minat dalam muzik saja yang mempunyai album-album seperti ini. Bayangkan ketika itu sebuah album dalam bentuk cd dijual paling murah dengan harga RM39.90, malah ada mencecah hingga RM50.00 sebuah cd. Apatah lagi dengan nilai wang RM50 ketika itu memungkinkan kita membeli satu troli barangan dapur. Jadi keperluan untuk membeli cd tidak seperti pertengahan 1990an atau awal tahun 2000.
Berbalik kepada album ini, ianya adalah satu kompilasi terbaik pernah dihasilkan NSR untuk Rohana Jalil dan hingga kini inilah album yang sangat memori pada aku.
Senarai lagu dalam album ini adalah:-
1. Rayuanku (1988) (A Ali/Lukman S)
2. Inikah Akhirnya (1990) (A Ali/Lukman S)
3. Seloka Dendangan Hati (1990) (A. Kadir /Effa)
4. Tinggalkan Diriku (1989) (Yolli ZM)
5. Resahku (1989) (A Ali/Lukman S)
6. Sempadan Kasih (1988) (A Ali/Lukman S)
7. Rindu Menggongcang Hati (1989) (Dhalan Zainuddin/Juwie)
8. Penyakit Rindu (1988) (Mas Omar/Haron Abdul Majid)
9. Dalam Birunya Luka (1988) (Zahir C Lubis)
10. Kerana Dia Kita Terpisah (1990) (A Ali/Juwie)
11. Diri Tersingkir (1990) (Dennis/Juwie)
12. Kau Mengujiku (1989) (A Ali/Habsah Hassan)
(c) Amirul Music Properties 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan