Kompilasi seterusnya adalah kompilasi dua artis hebat iaitu Seha dan Farra yang diterbitkan pada tahun 2001.
Umum mengenali Seha sebagai penyanyi kumpulan Freedom yang popular dengan lagu 'Mulanya Di Sini' yang tersenarai di Anugerah Juara Lagu 1987. Bagaimanapun Seha memilih untuk bergerak secara solo dengan album 'Seha' pada tahun 1990 dan popular dengan lagu ciptaan M Nasir iaitu lagu 'Seloka Cinta Remaja' dan 'Hitam Manis'.
Beliau juga menghasilkan sebuah lagi album pada tahun 1993 menerusi album 'Enigma'. Perjuangan Seha terhenti pada tahun 2006 dengan kepulangannya ke rahmatullah akibat penyakit kanser paru paru. Pun begitu Allahyarhamah tetap dikenang sebagai seorang penyanyi dan pengacara yang berkaliber.
Manakala Farra pernah mendapat jolokan ' Ratu Tari Malaysia' ini popular dari album 'Bagaikan Puteri' (1995) dan 'Sayang' (1997). Selepas berkahwin dan berhijrah menjadi seorang muslimah, Farra tidak lagi aktif dalam bidang nyanyian tetapi lagu 'Bagaikan Puteri' tetap digemari generasi baru dan lagu tersebut dinyanyikan semula oleh pelakon yang juga bekas pelajar Akademi Fantasia iaitu Zarina Zainordin.
Album ini sebenarnya unik kerana menghimpun 14 buah lagu Seha dan Farra yang terkenal dengan 'dance music'. Ia juga album ala-ala 'urban' yang menampilkan beberapa lagu yang mempunyai susunan muzik yang sangat advance.
Contoh lagu 'Titi Meniti' yang mempunyai pengaruh dan sedikit persamaan dengan lagu-lagu kumpulan antarabangsa Enigma. Susunan muziknya sangat urban dan sebenarnya benda-benda baru sebegini kurang mendapat sambutan peminat muzik tanahair ketika itu.
Begitu juga dengan album kedua Farra 'Sayang' yang menggabungkan muzik moden dan etnik yang tidak ketara. Sukar peminat muzik menerimanya walaupun album pertama beliau 'Bagaikan Puteri' mendapat sambutan luar biasa.
Album ini juga menampilkan lagu 'Bagaikan Puteri', 'Kata Hati', 'Buka Pagarmu' dan 'G.I.L.A' dari Farra dalam bentuk adunan semua atau 'remix'. Pendekata album ini menjadi pilihanku ketika mengantuk atau keletihan ketika memandu. Segar bugar dibuatnya. ☺
Antara lagu yang aku suka adalah 'Seloka Cinta Remaja' nyanyian Seha yang menampilkan sisi lain Seha menyanyikan lagu berentak cha cha. Begitu juga 'Tarian Bebas' yang mempunyai sedikit pengaruh Latin dan muzik orang asal New Zealand yang digabung dengan 'dance music'.
Begitu juga lagu 'Suara Amirul' yang satu-satunya lagu yang menggunakan namaku sebagai judul. Bangga jap! 😁 cuma aku tak pasti samada ini adalah lagu asal nyanyian Seha atau pun dinyanyikan semula dari penyanyi asal, sebab kalau tak silap aku pernah lagu ini dulu sebelum Seha nyanyikannya ataupun aku sendiri tak pasti yang lagu yang aku dengar tu memang asal nyanyian Seha.
Manakala lagu Farra yang aku suka selain 'Bagaikan Puteri' adalah 'Buka Pagarmu', 'Kedua Kalinya' dan 'Kata Hati'. Susunan muzik 'dance' gubahan Zuriani memang advance. Mungkin kerana beliau terdedah dengan muzik-muzik moden dari US yang menjadi tempat permastautin beliau.
Apapun kedua artis ini sememangnya mempunyai sedikit persamaan dari segi konsep album dan merupakan antara perintis lagu-lagu sebegini di arena muzik tempatan. Aku tak pasti samada artis remaja sekarang ada yang menyambung legasi yang diciptakan oleh Farra dan Allahyarham Seha.
Lagu lagu dalam album ini adalah:-
1. Seloka Cinta Remaja (Seha/M Nasir/S Amin Shahab)
2. Bagaikan Puteri (Farra/Zuriani/Fakir Iskandar)
3. Titi Meniti (Seha/Paul Moss & M Smith/Amran Omar)
4. Sayang (Farra/JB Lee/Fakir Iskandar)
5. Akar (Seha/Tradisi - himpunan lagu rakyat yang dihiasi muzik 'dance')
6. Buka Pagarmu (Farra/Zuriani/Fakir Iskandar)
7. Teman Bicara (Seha/Paul Moss & M Smith/Amran Omar)
8. Ributku (Farra/Zuriani/Fakir Iskandar)
9. Tarian Bebas (Seha/Paul Moss & M Smith/Johan Nawawi)
10. Kata Hati (Farra/Zuriani/Fakir Iskandar)
11. Hitam Manis (Seha/Tradisional/Fauzi Marzuki & Akmal Ariffin)
12. G.I.L.A (Farra/Zuriani/Loloq)
13. Suara Amirul (Seha/Fauzi Kadir)
14. Kedua Kalinya (Farra/Zuriani/Fakir Iskandar & Farra)