Jumaat, 6 Julai 2018

Aishah - Asia Sedunia

Kita pilih album seterusnya iaitu 'Asia Sedunia' oleh penyanyi kelahiran Batu Kikir Negeri Sembilan, Wan Aishah Wan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Aishah.

Aishah adalah antara penyanyi pertama Malaysia yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan sinonim dengan kumpulan dari New Zealand 'The Fanclub' yang popular sekitar tahun 1988 dengan lagu 'Sensation'. 

Malah single dari album kedua kumpulan ini 'Don't Let Me Fall Alone' pernah berada di  tangga kedua carta Billboard Amerika di bawah Michael Jackson yang ketika itu mengungguli carta dengan lagu 'Black or White' pada tahun 1989.

Kejayaan itu membawa Aishah pulang semula ke tanahair pada tahun 1990 dan menghasilkan album 'Aishah' dan meledak dengan hits 'Janji Manismu', memenangi Anugerah Juara Lagu dan Artis Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian. 

Aishah seterusnya melahirkan album kedua 'Aishah II' pada 1991 yang memuatkan lagu popular 'Kemaafan Dendam Yang Terindah'. 

Manakala album 'Aishah III Asia Sedunia' dihasilkan pada tahun 1992 ini turun mendapat sentuhan komposer/pemuzik dari Jepun, Makoto Kobuta selain Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan. Malah album ini juga dipasarkan di Jepun dan mendapat sambutan menggalakkan dari pendengar di sana.
'Killer song' untuk album ini sudah semestinya lagu 'Selanjur Bercinta' ciptaan Wan Zul dan lirik oleh S Amin Shahab. 

Selain itu Aishah juga merakam semula lagu Jepun 'Hanakage' dan lagu sentuhan Latin ciptaan Claudio Veeragoo dan ditukarkan lirik ke Bahasa Malaysia oleh Amran Omar iaitu 'Ambalamba'. Kedua lagu ini juga mendapat perhatian selain lagu 'Jari Jariku Sakit Semua' ciptaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan lagu rakyat 'Bangau oh Bangau' dengan susunan muzik lebih segar dengan sentuhan disco dan R&B. Ternyata keduanya diterima ramai dan tidak keterlaluan kalau dikatakan susunan muziknya lebih ke depan atau 'advance'.

Menerusi album ini juga Aishah pertama kali menyanyikan lagu ciptaan Datuk M Nasir dan Fauzi Marzuki menerusi 'Kau Yang Semalam' dan 'Kau Sahabat Kekasih Dan Teman'. Walaupun ketika itu dua lagu ini jarang diputarkan di radio, namun pada penggemar Aishah amat menyukai lagu ini. 
Lagu lain yang turut dimuatkan dalam album ini adalah 'Hikayat Asmara' ciptaan Ikhtiman Ismail dan lirik oleh Zurain.

Keseluruhan pada aku ini antara album terbaik yang pernah Aishah hasilkan. Lagu dan susunan muziknya lebih 'advance' ketika itu. Langsung tidak kedengaran seperti muzik 80an atau 90an di mana kebanyakan album-album Melayu ketika itu.