Sabtu, 15 November 2014

Aan - Pulang

Sebelum meneruskan nurkilan ini, sekalung Al-Fatihah dihulurkan kepada pemilik album review seterusnya ini iaitu Allahyarham Aan atau nama sebenarnya Imran Sulaiman yang sudah lebih 2 tahun meninggalkan kita bertemu Maha Pencipta pada 12 February 2012 lalu akibat serangan jantung. Walaupun Allahyarham telah tiada namun suara bekas vokalis Heavy Machine tetap diingati kerana lagu hits solo beliau 'Cinta Melankolia' pernah menjadi siulan sekitar 1993 dan 1994 dulu.

Aan pernah menghasilkan dua album solo bersama Happy Records melalui album ini dan juga 'Semalam' pada 1995. Apapun pada aku album ini merupakan satu lagi album pilihanku yang penuh dengan lagu-lagu sedap dan 'easy listening'. Selain lagu 'Cinta Melankolia', lagu 'Pulang' dan 'Semusim Cinta Seabad Terasa' juga pernah popular dan menjadi pilihan pendengar di Pilihan Bersama Radio Muzik ketika itu.

Walaupun aku memang mengenali antara orang kuat Happy Records ketika itu, namun kehadiran album ini langsung aku tak sedar. Tapi setelah mendengar lagu 'Pulang' di radio RMIK (sekarang KL.FM), aku tertanya-tanya siapakah pemilik suara lagu tersebut. Aku kurang meminati kumpulan Heavy Machine tetapi suka mendengar lagu 'Gelombang Cinta'. Apatah lagi lagu 'Pulang' ini mirip lagu 'Hazard' nyanyian Richard Marx membuatkan aku ingin tahu kenapa perlu ada 'copycat' dalam industri muzik tanahair. Lama-lama dengar barulah faham yang lagu ini langsung tiada persaman dengan lagu 'Hazard'. Kalau adapun sedikit dari segi susunan muzik tetapi bukan melodinya.

Namun setelah ditanya pada yang berkenaan, jelas sekali album ini memang dihasilkan oleh Happy Records. Tatkala mendengar saja album ini aku terus jatuh cinta dengan album yang dihasilkan pada 1993 dan diterbitkan oleh Dato' Sri Wirama Adnan Abu Hassan. Walaupun konsep pop rock bukanlah kegemaran aku yang lebih terarah kepada pop sepenuhnya, namun lagu-lagu slow rock dan pop agresif yang ada dalam album ini cukup menarik minat aku. Dari situ juga aku menyukai lagu-lagu seperti 'Dua Arah Bertemu', 'Murung' malahan lagu rock rancak 'Merentas Minda' dan 'Api Api'. Malah lagu bertunjangkan ketuhanan 'Sekali Imbas' juga sangat menarik untuk didengar. Pendekata memang tak rugi mendapatkan album ini ketika itu. Tak lah sampai sekali dengar, letak di rak dan habis di situ saja..

Suara Aan sememangnya cukup bertenaga dan mempunyai key yang tinggi (sesuai untuk beliau menyanyikan lagu-lagu rock) dan memang sukar untuk aku menyanyikan lagu 'Cinta Melankolia' di karaoke jika tidak diturunkan key nya.. Walaupun tidak pernah dicalonkan di Anugerah Industri Muzik ketika itu namun pada aku Aan merupakan salah seorang pemilik vokal yang terbaik pernah dimiliki oleh industri muzik tanahair. Perjuangan dalam bidang seni berterusan sehingga ke akhir hayat di mana beliau sempat membuat persembahan di kelab sehari sebelum menyahut panggilan Illahi. Moga rohnya aman bersamaNya. Al Fatihah.

(c) amirul omar properties 2014

Hasnol - Sudi Katakan Sudi

Kita ke tahun 90an untuk mengimbas kembali album yang sangat unik. Melainkan aku terlepas pandang, rasanya setakat hari ini belum ada lagi artis seperti Hasnol yang tampil dengan konsep album paling unik iaitu 'Techno Ethnic'. Album terbitan dan edaran Sony Music Entertainment (M) Sdn Bhd pada akhir tahun 1992 ini melakarkan satu lagi kepelbagaian industri seni tanahair yang sememangnya sudah cukup variasi. 

Sememangnya aku sangat 'admire' album ini bukan sahaja album ini mempunyai memori tersendiri (terutama lagu 'back-to-back' Diana) tetapi juga ia menampilkan lagu-lagu evergreen, tersendiri dan 'easy listening'. Walaupun ketika album ini dihasilkan, hanya empat lagu iaitu lagu 'Sudi Katakan Sudi' (Juara Kategori Pop Rock Anugerah Juara Lagu 1993), 'Laguku Untukmu' (lagu paling hits), 'Gadis Sarawak' dan 'Siapa Yang Menyedar' yang popular tetapi percayalah anda mampu mendengar ke semua sepuluh track album ini. Tak perlu skip!

Album ini diterbitkan oleh Dato' Sri Wirama Adnan Abu Hassan juga menampilkan hampir ke semua lagu ciptaan beliau dan diterbitkan sepenuhnya oleh beliau. Album ini ketika hadirnya era hiphop/rap, turut menampilkan sebuah lagu rap berjudul 'Rap Cinta Monyet' yang diolah dengan sedikit elemen muzik India. Dah nama pun etnik kan? Walau bagaimanapun, konsep techno itu memberikan kelainan dari lagu-lagu berkonsepkan etnik dan tradisional yang asli. 

Menerusi album ini, samada Hasnol atau Dato' Adnan sendiri ketika itu mungkin menghadkan hanya elemen muzik etnik Malaysia sebagai asas. Jika tidak mereka boleh 'explore' lebih dengan menampilkan muzik Latin, Afrika ataupun Jepun. Penggunaan sitar, gendang (walaupun hanya programming) membuatkan ianya 'berbunyi' lain daripada album-album pop etnik yang lain yang dihasilkan samada sebelum atau sesudah album ini (terutama lagu lagu ciptaan Dato Suhaimi Mohd Zain (Pah Ngah). 

Mungkin kerana elemen techno yang kuat membuatkannya unik. Itu belum lagi jika diolah dengan sedikit elemen dangdut ataupun irama padang pasir. Andainya ianya dilakukan tentunya ianya akan lebih indah. Sayangnya, karier Hasnol terhenti selepas album kedua beliau 'Caraku' yang diedarkan dua tahun selepas album ini dihasikan. Jika tidak aku rasa, mungkin banyak lagi 'exploration' yang dapat dilakukan. Ini mungkin disebabkan penerimaan peminat muzik ketika itu yang mula dilanda demam dangdut pada tahun 1994 - 1999, Pop Etnik (1997 - 2002) dan Nasyid (1996 - 2000). Begitu juga demam lagu lagu rock Melayu yang tercetus sejak akhir dekad 80an dan berterusan hingga pertengahan dekad alaf baru turut menenggelamkan konsep yang unik ini.

Semoga suatu hari nanti, konsep album ini akan diketengahkan semula oleh generasi baru dan dihasilkan menggunakan susunan muzik yang asli (bukan programming) dengan sedikit elemen orkestra. Mungkin jika Hasnol menghasilkan album ini pada tahun 2013, kita dapat melihat betapa 'padat'nya susunan muzik dengan sentuhan orkestra dan bunyi-bunyi yang terhasil dari gesekan sitar, tabla, gendang, sape atau erhu yang asli. Itupun jika industri yang sekangkang kera ini masih memberikan 'keadilan' pada lagu-lagu berteras budaya Malaysia kerana selepas tahun 2008, irama seperti ini seolah semakin dilupakan.

Track listing adalah seperti di bawah:-


1. Sudi Katakan Sudi (Adnan Abu Hassan / Anoe)
2. Rap Cinta Monyet (Adnan Abu Hassan / Adnan Abu Hassan & Anoe)
3. Laguku Untukmu (Adnan Abu Hassan / Noi)
4. Gadis Sarawak (Adnan Abu Hassan / Amran Omar)
5. Diana (Epilog Pertemuan)(Adnan Abu Hassan / Adnan Abu Hassan & Tania)
6. Diana (Epilog Memori)(Adnan Abu Hassan / Amran Omar)
7. Siapa Yang Menyedar (Adnan Abu Hassan / Mar)
8. Mencari Kasih (Johan Nawawi / Johan Nawawi)
9. Pesta Dunia (Adnan Abu Hassan / Nina)
10. Kini Tiada Lagi (Adnan Abu Hassan / Ika)

(c) amirul omar properties 2014

Fauziah Latiff - Kau Merubah Segalanya

Satu lagi album yang terhasil di penghujung dekad 80an. Kali ini kita 'jenguk' semula album kedua Fauziah Latiff (yang juga dikenali sebagai Jee), seorang penyanyi yang mempunyai aura dan personaliti yang cukup elegant. Album kedua ini diterbitkan oleh komposer Manan Ngah yang pada ketika itu banyak menaikkan nama-nama besar termasuk Allahyarham Dato Sharifah Aini, Francissa Peter, Razis Ismail dan Azlina Aziz. 

Album ini dihasilkan pada tahun 1989 ketika Jee baru berusia 19 tahun. Semestinya suara keanak-anakannya masih jelas kedengaran. Tetapi jika dibandingkan dengan album pertama Jee 'Di Gamit Memori' suara beliau dalam album ini mempunyai perubahan yang ketara, apatah lagi jika dibandingkan dengan album-album seterusnya. 

Album ini memuatkan lagu popular 'Kau Merubah Segalanya', 'Dilanda Asmara', 'Terima Kasih Teman', 'Kali Terakhir' dan 'Coretan Rindu Buat Teman'. Melalui album ini nama Fauziah Latiff semakin sinonim dalam industri muzik Malaysia selepas hanya mampu sekadar menempa nama menerusi album 'Digamit Memori' pada tahun 1988. 

Ketika ini nama Jee bersaing dengan nama-nama hebat seperti Ramlah Ram yang popular dengan lagu 'Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi' ('Dato Siti Nurhaliza' ketika itu), Rohana Jalil (ketika itu popular dengan lagu 'Resahku'), Fran (Rindu Memaksaku Menyayangimu), Noorshila Amin (Kad Ucapanmu) dan juga kumpulan Search yang popular dengan lagu 'Isabella'.

Senarai lagu-lagu dalam album ini adalah seperti di bawah:
(c) amirul omar properties 2014

Jumaat, 14 November 2014

Ramlah Ram - Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu

Album terhebat yang pernah dihasilkan oleh penyanyi evergreen Ramlah Ram ini diterbitkan pada tahun 1988. Lagu-lagu dalam album ini sememangnya mempunyai kekuatan tersendiri. Selain lagu berhantu yang dinobatkan sebagai lagu terbaik yang juga judul album ini 'Kau Kunci Cintaku (dalam hatimu)', lagu 'Apa Khabarmu Di Sana', 'Diam Diam Jatuh Cinta', 'Rindu Itu Menyeksakan', 'Penantian Yang Tak Berakhir', 'Membilang Butir Harapan', 'Hanyalah Padamu Ku Cinta' dan 'Rindu Semalam' juga menjadi hits. Pendekata, album ini adalah killer album. Maka tidak hairanlah album ini direkodkan dalam Malaysia Book of Record sebagai album Melayu pertama mencecah jualan 300,000 unit.  

Album ini diterbitkan oleh Dato' Dr Ahmad Nawab di bawah label Nawab Production dan diedarkan oleh PMC (sekarang dikenali sebagai Sony Music Entertainment Sdn Bhd). Senarai lagu lagu, pencipta dan penulis lirik dalam album ini adalah seperti di bawah:-
Sehingga kini jualannya dikhabar terjual melebihi setengah juta unit bila keluaran semula album ini diterbitkan semula dalam bentuk CD oleh Music Valley pada tahun 2006.  
album keluaran semula oleh Music Valley tetapi kualiti muzik kurang memuaskan
 #koleksi peribadi amirul omar