Sabtu, 15 November 2014

Hasnol - Sudi Katakan Sudi

Kita ke tahun 90an untuk mengimbas kembali album yang sangat unik. Melainkan aku terlepas pandang, rasanya setakat hari ini belum ada lagi artis seperti Hasnol yang tampil dengan konsep album paling unik iaitu 'Techno Ethnic'. Album terbitan dan edaran Sony Music Entertainment (M) Sdn Bhd pada akhir tahun 1992 ini melakarkan satu lagi kepelbagaian industri seni tanahair yang sememangnya sudah cukup variasi. 

Sememangnya aku sangat 'admire' album ini bukan sahaja album ini mempunyai memori tersendiri (terutama lagu 'back-to-back' Diana) tetapi juga ia menampilkan lagu-lagu evergreen, tersendiri dan 'easy listening'. Walaupun ketika album ini dihasilkan, hanya empat lagu iaitu lagu 'Sudi Katakan Sudi' (Juara Kategori Pop Rock Anugerah Juara Lagu 1993), 'Laguku Untukmu' (lagu paling hits), 'Gadis Sarawak' dan 'Siapa Yang Menyedar' yang popular tetapi percayalah anda mampu mendengar ke semua sepuluh track album ini. Tak perlu skip!

Album ini diterbitkan oleh Dato' Sri Wirama Adnan Abu Hassan juga menampilkan hampir ke semua lagu ciptaan beliau dan diterbitkan sepenuhnya oleh beliau. Album ini ketika hadirnya era hiphop/rap, turut menampilkan sebuah lagu rap berjudul 'Rap Cinta Monyet' yang diolah dengan sedikit elemen muzik India. Dah nama pun etnik kan? Walau bagaimanapun, konsep techno itu memberikan kelainan dari lagu-lagu berkonsepkan etnik dan tradisional yang asli. 

Menerusi album ini, samada Hasnol atau Dato' Adnan sendiri ketika itu mungkin menghadkan hanya elemen muzik etnik Malaysia sebagai asas. Jika tidak mereka boleh 'explore' lebih dengan menampilkan muzik Latin, Afrika ataupun Jepun. Penggunaan sitar, gendang (walaupun hanya programming) membuatkan ianya 'berbunyi' lain daripada album-album pop etnik yang lain yang dihasilkan samada sebelum atau sesudah album ini (terutama lagu lagu ciptaan Dato Suhaimi Mohd Zain (Pah Ngah). 

Mungkin kerana elemen techno yang kuat membuatkannya unik. Itu belum lagi jika diolah dengan sedikit elemen dangdut ataupun irama padang pasir. Andainya ianya dilakukan tentunya ianya akan lebih indah. Sayangnya, karier Hasnol terhenti selepas album kedua beliau 'Caraku' yang diedarkan dua tahun selepas album ini dihasikan. Jika tidak aku rasa, mungkin banyak lagi 'exploration' yang dapat dilakukan. Ini mungkin disebabkan penerimaan peminat muzik ketika itu yang mula dilanda demam dangdut pada tahun 1994 - 1999, Pop Etnik (1997 - 2002) dan Nasyid (1996 - 2000). Begitu juga demam lagu lagu rock Melayu yang tercetus sejak akhir dekad 80an dan berterusan hingga pertengahan dekad alaf baru turut menenggelamkan konsep yang unik ini.

Semoga suatu hari nanti, konsep album ini akan diketengahkan semula oleh generasi baru dan dihasilkan menggunakan susunan muzik yang asli (bukan programming) dengan sedikit elemen orkestra. Mungkin jika Hasnol menghasilkan album ini pada tahun 2013, kita dapat melihat betapa 'padat'nya susunan muzik dengan sentuhan orkestra dan bunyi-bunyi yang terhasil dari gesekan sitar, tabla, gendang, sape atau erhu yang asli. Itupun jika industri yang sekangkang kera ini masih memberikan 'keadilan' pada lagu-lagu berteras budaya Malaysia kerana selepas tahun 2008, irama seperti ini seolah semakin dilupakan.

Track listing adalah seperti di bawah:-


1. Sudi Katakan Sudi (Adnan Abu Hassan / Anoe)
2. Rap Cinta Monyet (Adnan Abu Hassan / Adnan Abu Hassan & Anoe)
3. Laguku Untukmu (Adnan Abu Hassan / Noi)
4. Gadis Sarawak (Adnan Abu Hassan / Amran Omar)
5. Diana (Epilog Pertemuan)(Adnan Abu Hassan / Adnan Abu Hassan & Tania)
6. Diana (Epilog Memori)(Adnan Abu Hassan / Amran Omar)
7. Siapa Yang Menyedar (Adnan Abu Hassan / Mar)
8. Mencari Kasih (Johan Nawawi / Johan Nawawi)
9. Pesta Dunia (Adnan Abu Hassan / Nina)
10. Kini Tiada Lagi (Adnan Abu Hassan / Ika)

(c) amirul omar properties 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan