Sabtu, 22 Oktober 2016

Profil Lagu-Lagu Popular Ciptaan Ahmad Nawab

Kita ke album kompilasi pula yang ada dalam simpananku. Album ini sebenarnya seolah satu 'masterpiece' dari komposer evergreen  Datuk Dr. Ahmad Khan Bin Nawab Khan yang lebih dikenali oleh Ahmad Nawab.


Memetik info dari wikipedia, Dato’ Dr. Ahmad Nawab dilahirkan di Pulau Pinang, merupakan seorang komposer muzik yang lebih dari layak digelar 'sifu' kerana telah menerbit lebih 200 buah album yang didendangkan oleh artis-artis tempatan dan luar negara yang popular dan berbakat besar seperti Hetty Koes Endang, Khatijah Ibrahim, Sudirman Haji Arshad, Ramlah Ram, Broery Marantika dan ramai lagi.

Lagu-lagu ciptaannya sangat berkualiti kerana sesebuah lagu yang diciptanya adalah berdasarkan pengamatan beliau terhadap penyanyi yang bakal menyanyikan lagu itu.

Dengan ertikata lain lagu itu dicipta dengan mengambil kira di mana kekuatan dan kelemahan suara penyanyi yang akan menyanyikannya. Pendekata kalau sesebuah lagu itu dicipta untuk Ramlah Ram, ianya adalah sesuai dan hebat dilagukan oleh Ramlah Ram dan bukannya penyanyi lain walaupun penyanyi lain mungkin memiliki kelebihan tersendiri.

Lihat saja bagaimana Faradhiya menyanyikan semula lagu 'Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu' ketika konsert mingguan Gegar Vaganza 2 pada tahun 2015 lalu. Terlalu hambar dirasakan lagu itu di tangan Faradhiya walaupun Faradhiya mempunyai keunikan vokal tersendiri.

Dato’ Dr. Ahmad Nawab adalah komposer yang bertanggungjawab bagi mengubah lagu “Malaysia Truly Asia” yang dinyanyikan oleh Datuk Khatijah Ibrahim untuk mempromosi Malaysia pada persada antarabangsa.

Maknanya di sini lagu-lagu beliau kekal relevan sepanjang zaman tidak hanya ciptaan zaman Allahyarham Puan Sri Saloma tetapi juga ciptaan beliau di alaf baru.

Maka tidak hairan lah jika beliau dianugerahkan anugerah Doktrate Dalam Penulisan Kehormat (“Honarory Doctrate In Literature”) oleh Universiti Putra Malaysia pada tahun 2000 yang membawa gelaran Dr. (Ni gelaran Dr. anugerah yang original dan bukan dibeli atau di'claim'kan ya.. lol)

Berbalik kepada review album kali ini, ia adalah terbitan Warner Music Malaysia pada tahun 2012 dan mungkin mendapat kerjasama dari pihak EMI Malaysia yang ketika itu bernaung di bawah Warner sebelum diambilalih sepenuhnya oleh Universal Malaysia beberapa tahun selepas itu.

Kebanyakkan lagu-lagu dari album profile insan bernama Ahmad Nawab ini adalah lagu-lagu dari artis yang pernah bernaung di bawah Warner Music dan EMI Music. Mungkin kerana kekangan dari segi hakcipta membuat lagu-lagu hits dari album Ramlah Ram, Shidee, Salamiah Hassan, Siti Fairuz dan Noraniza Idris tidak berada dalam album ini.

Pun begitu aku tak pasti kenapa lagu 'Rindu Memaksaku Menyayangimu' dan 'Rindu Seorang Kekasih' nyanyian Francissca Peter tidak berada dalam album ini walhal ianya diterbitkan di bawah Warner Music Malaysia. Mungkin kerana terlepas pandang atau atas sebab lain.

Apapun untuk album ini sememangnya mengimbas aku kembali pada lagu yang pernah popular satu ketika dulu dan ada antaranya aku sendiri tidak pernah dengar. Sebagai contoh lagu 'Kau Sumber Ilham Seniku' nyanyian Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Lagu ini amat menarik kerana liriknya sendiri ditujukan kepada sang komposer yang begitu dikaguminya.

Begitu juga lagu 'Kabus' (Hail Amir), 'Di Mana Ke Mana' (Allahyarham Datuk Ahmad Jais), 'Menanti Malam Tiba' (Serena Hashim), 'Jinak Merpati' (Allahyarham Tohpuan Rafeah Buang) dan 'Saat Yang Ku Nanti' (DJ Dave) yang merupakan antara lagu klasik yang sangat menarik.

Aku akui lagu-lagu dan penyanyi tahun 70an bukanlah zaman aku memandangkan aku hanya dibesarkan pada tahun 80an. Namun lagu-lagu popular 70an yang lain seperti lagu lagu nyanyian Uji Rashid, Hail Amir, Sharifah Aini, DJ Dave, BDB, Carefree, Khadijah Ibrahim dan Latiff Ibrahim tetap menjadi halwa telingaku sejak dari zaman kanak-kanak lagi.

Malah aku hanya mengenali penyanyi seperti Noor Kumalasari, Anita Sarawak, Azlina Aziz dan Sudirman pada era 80an dengan lagu lagu hits mereka ketika itu seperti 'Mata', 'Bawalah Daku Pergi', 'Wajahmu Di Mana Mana' dan 'Nilai Cintamu' walhal mereka lebih dulu dikenali di era pertengahan dan akhir 70an.

Dari 36 lagu yang terkandung dalam 2 cd album ini aku sangat menyukai lagu 'Bintang Malam' dan 'Menanti Hari Esok' nyanyian Uji Rashid, 'Tiada Maaf Bagimu' (Datuk Sharifah Aini.. namun aku pelik kenapa tiada lagu 'Seiring Dan Sejalan' dan 'Kau Tinggi Di Awan Biru' tidak termasuk dalam senarai album ini) dan juga lagu 'Sendiri' dan 'Nasib Diriku' (Jamal Abdillah).

Lagu lain yang aku suka adalah 'Bawalah Daku Bersamamu' (Allahyarham Azean Irdawaty.. mungkin tak ramai mengetahui yang beliau sebenarnya memulakan perjalanan seninya sebagai penyanyi), Sirih Pinang (Azlina Aziz), Senja Di Kuala Lumpur (Broery Marantika), Kau Bungaku (Dato Shake), 'Lain Hari, Lain Tempat, Lain Waktu' (Anita Sarawak) dan 'Ku Sangka Siang Kiranya Malam' (Datuk Khadijah Ibrahim.. tertanya juga mana menghilang lagu 'Ku Gembira Di Sampingmu' dari senarai lagu dalam album ini)

36 lagu yang terdapat dalam album ini yang diciptaan Datuk Dr Ahmad Nawab adalah:-

CD 1
1. Kabus (nyanyian Hail Amir dan lirik oleh Erna)
2. Kau Sumber Ilham Seniku (nyanyian dan lirik oleh Sharifah Aini)
3. Ku Sangka Siang Kiranya Malam (Khadijah Ibrahim/Rahmat Zaki)
4. Aku Penghiburmu (Sudirman/Ernie)
5. Kasih (Broery Marantika/Rina)
6. Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu (Uji Rashid/Erna)
7. Cahaya (DJ Dave/Erna)
8. Di Mana Ke Mana (Ahmad Jais/Nordin Che Din)
9. Nasib Diriku (Jamal Abdillah/Rahmat Zaki)
10. Menanti Malam Tiba (Sarena Hashim/M Habib)
11. Sirih Pinang (Azlina Aziz/Rahmat Zaki)
12. Hujan (Hail Amir & Uji Rashid/Ernie)
13. Lain Hari, Lain Tempat, Lain Waktu (Anita Sarawak/Salamah Basiron)
14. Kenangan Membawa Kesan (Norlaila Ayub/Nordin Che Din)
15. Pilihlah Aku (Latiff Ibrahim/Rahmat Zaki)
16. Jinak Merpati (Rafeah Buang/Ahmad Nawab)

Cd 2
1. Bintang Malam (Uji Rashid/Ainul Jamal)
2. Aku Dan Kesepian (Azlina Aziz/Dalina)
3. Senja Di Kuala Lumpur (Broery Marantika)
4. Wajah Kesayangan Hamba (Hail Amir/Chuari Selamat)
5. Mengapa Aku Disalahkan (Khadijah Ibrahim/Dalina Ahmad)
6. Teraju Negara (Latiff Ibrahim/Rahmat Zaki)
7. Bawalah Daku Bersamamu (Azean Irdawati/Rahmat Zaki)
8. Ku Tahu Hatimu Terluka (Jamal Abdillah/Juwie)
9. Apa Diharap Hatinya Orang (Rose Iskandar/Ernie)
10. Menanti Hari Esok (Uji Rashid/Aimi Jarr)
11. Tiada Maaf Bagimu (Sharifah Aini)
12. Sendiri (Jamal Abdillah/Habsah Hassan)
13. Kau Bungaku (Dato Shake/Dalina Manja)
14. Hari Yang Ku Nantikan (Rozita Rohaizad/Suriani)
15. Saat Yang Ku Nantikan (DJ Dave/Arnie S)
16. Antara Matamu Dan Mataku (Hail Amir & Uji Rashid/Arnie S)

         (c) 2016 Amirul Music Properties

Tiada ulasan:

Catat Ulasan