Sabtu, 22 Oktober 2016

Siti Nurhaliza (1996)

Kita imbas album pertama Dato Siti Nurhaliza yang diterbitkan pada tahun 1996 usai kemenangan beliau di pertandingan Bintang HMI 1995. 

Dato Siti merupakan antara artis yang menjadi kegemaranku sejak kemunculannya di pertandingan tersebut. Gaya nyanyian dan suara beliau yang tersendiri membuatkan aku kagum dengannya. Bahkan ketika pertandingan akhir yang mana beliau menyanyikan lagu popular Aishah 'Camar Yang Pulang' aku sudah menjangkakan yang dia mampu memenangi pertandingan itu.

Walaupun Dato Siti mendapat banyak tawaran menyertai syarikat rakaman antarabangsa ketika itu, namun rasanya beliau tidak pernah tersalah arah bila memilih tawaran Allahyarham Datuk Seri Wirama Adnan Abu Hassan dan Suria Records sebagai naungan pertamanya dalam bidang seni.

Ternyata naskah ini berjaya mendapat sebutan peminat muzik tempatan ketika iti bila mula meledaknya lagu 'Jerat Percintaan'. Biarpun pada awalnya lagu ini bukanlah superbom hits ketika itu namun semuanya berubah bila ianya dipilih sebagai lagu terbaik Anugerah Juara Lagu ke 14 (1996) sekaligus menobatkan juga Dato' Siti memenangi kategori Persembahan Terbaik.

Sebenarnya kekuatan album ini bukan saja terletak pada 'Jerat Percintaan' semata-mata kerana lagu 'Jawapan Di Persimpangan' dan 'Antara Waktu Dan Usia' adalah antara single yang terlebih dulu mendapat perhatian.

Ini kerana berbeza dengan cara stesen radio zaman sekarang yang memilih untuk memutarkan cuma satu lagu dari setiap album dulu sampai 'lebam' dan barulah diikuti dengan lagu lain. Tetapi ketika tahun 90an (sebelum wujudnya Era.fm) tidak hanya menumpukan pada satu lagu dari setiap album seseorang penyanyi.

Jika terdapat lebih dari satu lagu hits, radio tetap memutarkannya mungkin 3 atau 4 kali berselang-seli dalam sehari. Maknanya, kita mungkin boleh dengar lagu A pada sebelah pagi, lagu B pada tengahari, lagu A kembali pada sebelah petang dan mungkin lagu C atau B sekali lagi pada sebelah malamnya. Pendekata, kalu semua lagu hits, kita mungkin dapat dengar semua 10 lagu dari album itu dalam masa satu hari!

Apapun fenomena itu tak kan mungkin kembali kerana keterbatasan kehendak sesebuah stesen radio dan juga kekurangan sebuah album penuh dihasilkan oleh para penyanyi tanahair ketika ini.

Berbalik kepada album ini, antara 'favourite song' aku adalah 'Jawapan Di Persimpangan', 'Sempadan' dan 'Jalanan Berduri'. Lagu-lagu ini mula mendapat perhatian selepas Dato Siti memenangi Anugerah Juara Lagu dan single 'Mawarku' (duet bersama kumpulan 2 by 2) mula meledak. Sudah lumrah, bila seseorang penyanyi mula dikenali, peminat akan 'selongkar' apa saja lagu nyanyiannya walaupun dari album yang tak pernah dikenali ataupun 'meletop'.

Malah lagu 'Mahligai Asmara', 'Bicara Luka' dan 'Kerana Jelingan' juga mendapat perhatian bila ianya mendapat permintaan dalam rancangan 'Pilihan Bersama' Radio Muzik yang popular ketika itu. Malah rancangan ini adalah antara platform terbaik untuk menilai sejauh mana kejayaan sesebuah album kerana lagu yang dipilih sememangnya adalah dari pilihan pendengar.

Album ini menampilkan konsep pop sepenuhnya dan dimuatkan lebih separuh dari 10 lagu dalam album ini dengan lagu-lagu ciptaan Adnan Abu Hassan. Walaupun susunan muzik dalam album ini jelas dipenuhi dengan bunyi 'tipikal' Adnan yang terkenal dengan susunan 'programming'nya namun pada aku ianya sebuah album yang sangat menarik dan penuh 'kenangan'. Dah 20 tahun usia album ini..

Cuma janganlah bandingkan album ini dengan album Dato Siti seperti 'Fragmen' kerana jarak masa adalah tidak relevan untuk membezakannya kerana terdapat banyak kelemahan dari segi susunan muzik, pemilihan lagu dan cara nyanyian Dato Siti sendiri sudah jauh berubah.

Senarai penuh lagu-lagu dalam album ini adalah seperti inlay di bawah:-

(c) 2016 Amirul Omar Properties

2 ulasan:

  1. Hello... saya berminat dengan album ini... jika Encik bercadang untuk menjualnya, saya ingin membelinya...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hi Encik Faizal,

      buat masa ni semua album adalah dari koleksi peribadi saya. Oleh itu saya tidak bercadang untuk let go mana-mana album yang berada dalam simpanan saya.

      Apapun terima kasih kerana melayari blog saya.

      Terima kasih

      Padam