Khamis, 13 Oktober 2016

Sarah

Album pop seterusnya ini diterbitkan pada tahun 2002 yang merangkul Album Terbaik dan Album Pop Terbaik di AIM ke 10 pada tahun 2003.


Ini adalah album pertama Siti Sarah Raisuddin atau lebih dikenali sebagai Sarah. Artis kelahiran Kuala Lumpur ini merupakan anak pelakon dan penyanyi popular 80an Raisuddin Hamzah dan isteri kepada anggota kumpulan Sepahtu iaitu Shuib.

Beliau pernah menjadi finalist Bintang RTM pada tahun 2001 yang ketika itu dimenangi oleh Azharina Azhar. Malah ketika itu juga beliau bersaing dengan Misha Omar dan Ameer Sofarz di pertandingan yang banyak melahirkan artis artis terbaik tanahair.

Namun itu tidak melemahkan semangat Sarah bila rezeki mula berpihak kepadanya selepas menjuarai Bintang Gempaq URTV beberapa bulan selepas itu.

Serentak itu Sarah disunting oleh NAR Records menjadi artis mereka dan lahirlah album ini. Keunikan suara Sarah merupakan antara sebab yang beliau seharusnya kekal dalam industri muzik.

Malah kemunculan album-album seterusnya yang mempopularkannya dengan lagu 'Jangan Kau Mimpi', 'Saat Hilangnya Cintamu' dan 'Bersamamu' merupakan antara sebab yang membuatkan beliau kekal relevan.

Sayangnya selepas mendirikan rumahtangga, beliau tidak begitu aktif dalam bidang seni dan diharapkan kemunculan semula Sarah dalam Gegar Vaganza 3 mampu menyerlahkan kembali auranya.

Album ini membariskan ramai komposer dan diterbitkan oleh Aalva Jitab, Aidid Aifian, Ajai, Along Exist, Azmeer, Belle Fatah, Edrie Hashim, Helen Yap dan Neves Pretty Ugly.

Tak hairanlah bila dikatakan ini adalah salah satu album pilihan aku kerana ianya merupakan sebuah 'killer album' yang menampilkan lebih dari 5 buah lagu hits yang popular di radio ketika itu.

Sudah semestinya 'Kesetiaan' merupakan lagu 'super hits' dalam album ini. Namun lagu-lagu seperti 'Ku Teruskan',  'Ke Hujung Dunia', 'Pesan Mamaku' dan 'Rembulan Di Taj Mahal' juga antara lagu yang diminati ramai.

Selain lagu-lagu hits itu aku juga menyukai lagu 'Cemburu', 'Kata Cinta' dan 'Hai Kawan'. Lagu 'Kata Cinta' ciptaan Azmeer ini juga lari dari kebiasaan yang dihasilkan beliau yang terlalu sinonim dengan lagu-lagu ala 'Purnama Merindu' (Dato' Siti Nurhaliza).

Malah tak keterlaluan dikatakan yang lagu 'Ke Hujung Dunia' juga menampilkan sisi lain Aidit Alfian yang ketika itu terkenalkan dengan ke'genius'annya menghasilkan lagu yang unik seperti 'Paling Comel' nyanyian Siti Nordiana dan Achik. Ini kerana ianya adalah sebuah naskah balada agak berat yang sarat dengan susunan muzik yang lain dari yang lain ketika itu. Maksud aku, susunan muzik lagu ini belum pernah aku dengar dalam mana-mana lagu sebelum ini (kecuali yang tak popular atau aku terlepas pandang)

Begitu juga susunan muzik lagu 'Pesan Mamaku' yang sarat dengan elemen klasik Jazz yang cukup unik. Manakala lagu 'Damaikan Asmaraku' mengingatkan aku lagu-lagu Patrick Kamis yang lain nyanyian Syura, Elyana atau Siti Nordiana. Namun keasliannya tetap ada. 'Sedap dan boleh makan!'

Ternyata lagu-lagu sebelum era tahun 2010 begitu sarat dengan kualiti dan keunikan yang tidak ada pada lagu-lagu sekarang.

Apapun "all the best" untuk Sarah dalam Gegar Vaganza 3 yang bakal berlangsung pada 16 Oktober 2016 ini.


Senarai lagu dalam album ini adalah:-

1. Ku Teruskan (Ajai/Musrad)
2. Hai Kawan (G Nola/Musrad)
3. Kesetiaan (Ajai/Musrad)
4. Rembulan Di Taj Mahal (Edrie Hashim/Loloq)
5. Kata Cinta (Azmeer/Loloq)
6. Ke Hujung Dunia (Aidid Alfian/Aidid Alfiat & Ad Samad)
7. Cemburu (Neves Pretty Ugly)
8. Damaikan Asmaraku (Patrick Kamis/Hazida)
9. Hasrat Cinta (Aalva/Taha)
10. Pesan Mamaku (Helen Yap/Loloq)

(c) Amirul Music Properties 2016


Tiada ulasan:

Catat Ulasan